Dr. Sabariah Mohamed Salleh, 38, yang kini masih terkandas di lapangan terbang berkenaan memaklumkan dia yang baru sahaja tiba dari London pada pukul 10.36 pagi (waktu tempatan) atas urusan kerja masih tidak dapat pulang ke rumahnya di Musashimurayama, Tokyo kerana dimaklumkan ribut kuat sedang melanda di beberapa lokasi.

"Situasi di lapangan terbang ketika ini sangat sesak kerana ribuan penumpang terkandas ekoran beberapa penerbangan ditangguh dan sukar untuk keluar kerana ketiadaan perkhidmatan pengangkutan awam.

"Kami dimaklumkan perkhidmatan kereta api dan bas juga dihentikan buat sementara waktu serta semua hotel di sekitar lapangan terbang sudah penuh untuk ditempah," katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Beliau yang juga seorang pensyarah di sebuah universiti di Malaysia memberitahu, orang ramai juga beratur panjang untuk mendapatkan teksi namun mereka turut dimaklumkan beberapa laluan di lebuh raya juga ditutup.

Katanya, sebelum ini dia hanya mengetahui kejadian ribut melanda Jepun, tetapi tidak menyangka ia berlaku seteruk hari ini.

"Saya ingin pulang ke rumah (di Musashimurayama) segera. Suami dan tiga anak saya berada di sana ketika ini. Syukur kami masih dapat menghubungi antara satu sama lain.

"Suami memaklumkan bahawa beberapa kawasan dilanda ribut yang sangat kuat semalam dan tadika tempat anak saya belajar juga ditutup atas faktor keselamatan," ujarnya yang hampir setahun tinggal di Tokyo.

Sabariah memaklumkan, sekiranya perkara ini berlanjutan, dia merancang untuk terus menunggu di lapangan terbang memandangkan kebanyakan hotel berhampiran sudah penuh ditempah.

"Suami berhasrat untuk meminjam kereta bagi mengambil saya tetapi memandangkan laluan lebuh raya ditutup, perjalanan akan ambil masa lama iaitu empat jam, kasihan anak-anak nanti, jadi saya rancang untuk terus tunggu di sini, " katanya.

rak makanan
Barisan rak makanan yang kosong di sebuah kedai serbaneka di lapangan terbang tersebut.

Dalam pada itu, Sabariah turut berkongsi beberapa keping gambar memaparkan rak makanan yang kosong di sebuah kedai serbaneka di lapangan terbang berkenaan.

"Saya masih belum menjamah apa-apa makanan kerana perlu beratur panjang di semua kedai makanan. Kami juga tidak menerima apa-apa makanan atau minuman dari pihak lapangan terbang setakat ini," katanya. 

"Justeru, saya berdoa ribut ini akan segera reda dan pihak berwajib dapat salurkan maklumat segera sekiranya perkhidmatan lain akan dibuka semula," katanya.  - K! ONLINE

JADUAL
Beberapa jadual penerbangan juga ditangguh dan dibatalkan ekoran cuaca buruk yang melanda bandar itu ketika ini.