Beliau berkata demikian selepas sering kali membuat pemeriksaan untuk melihat keadaan di tandas awam di negara ini.

“Saya amat malu kerana sering kali pergi membuat pemeriksaan tandas di negara ini untuk melihat sama ada bersih atau tidak. Biasanya tidak bersih dan busuk.

“Itu mencerminkan sifat yang ada pada kita. Sepatutnya kita berasa malu namun, kita berpendapat tiada orang yang akan tahu siapa yang membuatnya. Ini disebabkan oleh tiada perasaan tanggungjawab sivik dalam hati kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin.

Mengulas lanjut,menurut Dr. Mahathir, sekiranya berkunjung ke negara tertentu, tandas awam yang disediakan amat bersih ekoran penggunanya tidak mengotorkan keadaan di kawasan itu.

“Kenapa? Mereka rasa bertanggungjawab dan menghargai pandangan masyarakat terhadap diri sendiri,” katanya.

Jelasnya, ketika ini, usaha mendidik dalam bidang sivik menjadi satu perkara yang penting kerana ia mempunyai hubung kait dengan kehidupan masyarakat dalam menyumbang kepada kebaikan dan kesejahteraan.

"Usaha mendidik bukan sahaja tangungjawab ibu bapa semata-mata bukan kerana semua ibu bapa mempunyai pegangan yang baik kepada nilai-nilai yang mulia.

Oleh itu, mungkin apa yang diajar, disampai dan disemai dalam hati anak-anak mereka tidak begitu baik.

"Justeru, kita perlu susun nilai hidup terbaik yang perlu diterap kepada anak-anak. Ini menjadikan satu daripada tugas pendidikan dalam membentuk masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu tentukan pegangan dan sifat yang perlu ada," katanya. - K! ONLINE