Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan mengenai laporan terbabit namun, beliau enggan menggulas lanjut.

"Benar, kami menerima laporan berhubung perkara ini tetapi maaf setakat ini tiada sebarang kenyataan akan diberikan," katanya ringkas kepada Kosmo! menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini. 

Dipercayai, laporan polis tersebut adalah susulan daripada tindakan Musa pada Khamis lalu yang menfailkan writ saman untuk mengekalkan jawatan Ketua Menteri disandangnya di Istana Negeri di sini, 10 Mei lalu.

Perintah saman itu turut menyatakan pelantikan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di hadapan Tun Juhar sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu adalah tidak sah kerana tidak mengikut perlembangaan.

Writ saman tersebut menamakan Tun Juhar dan Mohd. Shafie sebagai responden. 

Terdahulu, Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri berdasarkan majoriti mudah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hasil kerjasama antara BN dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pada 10 Mei lalu.

Bagaimanapun,  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga tersebut hanya memegang jawatan itu lebih kurang 36 jam apabila Mohd. Shafie pula mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri selepas Warisan dengan kerjasama Pakatan Harapan mendapat majoriti mudah 35 kerusi DUN susulan enam ADUN BN bertindak menyertai Warisan. - K! ONLINE