Beliau berkata, pihak-pihak terbabit tidak mempunyai justifikasi memandangkan kerajaan tidak pernah menafikan hak penggunaan tulisan bahasa Cina di negara ini dan sentiasa percaya kepada dasar kemakmuran negara yang berbilang bangsa.

Katanya, pengenalan tulisan yang memiliki nilai seni itu juga sesuai dengan keistimewaan diperuntukkan kepada kaum Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

"Jika kita lihat negara-negara lain termasuk Indonesia, Filipina dan Thailand, mereka ini telah menetapkan hanya bahasa ibunda sebagai bahasa rasmi walaupun memiliki pelbagai bangsa di dalam sebuah negara, malah tulisan Cina tidak dibenarkan.

"Jadi tidak kenalah kalau DAP kata kita tidak boleh belajar (tulisan) khat. Saya juga fikir bukan semua DAP (yang membantah) mungkin ada satu bahagian daripada parti itu yang menentang, jadi kita boleh teruskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar dalam sesi Townhall Semarak Merdeka yang diadakan di Hotel Hatten di sini hari ini.

Program tersebut yang disertai kira-kira 1,600 peserta diadakan sempena kunjungan Dr. Mahathir ke Melaka bagi merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 malam ini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mendapat tentangan berhubung pengenalan tulisan khat dan Jawi daripada dua pertubuhan Cina iaitu Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Dong Zong dan Jiao Zong malah dilaporkan bertekad mahu mengadakan perhimpunan bagi membantah penambahan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 termasuk di sekolah vernakular seperti yang dirancang. - K! ONLINE