Menerusi klip video yang tular di Twitter itu, vloger yang dikenali dengan nama ‘seaside girl Little Seven’ pada mulanya menyuakan sotong itu ke mulutnya, namun haiwan itu menyedut bibirnya dan melingkari wajah wanita berkenaan dengan sesungutnya.

Wanita itu kemudian menjerit kesakitan dan cuba bergelut menarik sotong tersebut daripada wajahnya kerana haiwan laut itu enggan melepaskannya, malah beralih ‘menyedut’ pipi wanita itu sehingga meninggalkan luka kecil.

Selepas berjaya melepaskan sotong berkenaan dari wajahnya, beliau menyatakan akan makan sotong itu menerusi video akan datang.

Video yang dimuatnaik di platform video popular, Kuaishou mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata menyokong tindakan sotong itu dan menyifatkannya sebagai ‘karma’.

Berdasarkan fakta daripada National Geographic, sotong kurita adalah haiwan yang sangat pintar, mahir menyembunyikan diri daripada musuh.

Sesunggutnya yang terdiri daripada ratusan penyedut dapat digerakkan secara berasingan bagi membolehkannya memegang, menghidu dan memanipulasi sesuatu objek. - Bernama