Beliau berkata, pertukaran tersebut adalah bagi membawa masuk pasukan (lembaga) baharu yang akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang bagi menstruktur semula Finas agar lebih maju pada masa depan.

"Industri filem telah berkembang dengan pesat khususnya dunia digital yang membawa filem ke tahap yang sangat berbeza. Seluruh industri ini sedang mengalami perubahan. Sebab bagi membawa masuk anggota lembaga baharu itu adalah untuk memberi idea agar Finas kekal relevan dan dapat memacu industri filem.

"Pemberhentian Ketua Pengarah dan TKP tiada kaitan dengan mana-mana siasatan. Ia proses penstrukturan dalaman. Saya tidak nyatakan mereka terlibat sama sekali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Keusahawanan e-Commerce di sini hari ini.

Gobind Singh sebelum ini dilapor berkata, Finas memerlukan penstrukturan semula secara besar-besaran bagi memastikan kelancaran tadbir urus di agensi itu dan perubahan dalaman itu penting terutama melibatkan proses penyaluran dana kerajaan. - Bernama