Perintah reman sehingga 27 Jun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Melaka, Syarina Shaarani @ Tan terhadap suspek yang merupakan warga Indonesia berusia 46 tahun. 

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, suspek ditahan di Kampung Bakar Batu, Bachang selepas terdapat saksi yang melihat lelaki itu dalam keadaan mencurigakan semasa kejadian. 

"Suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di sebuah rumah di Bachang. 

"Bagaimanapun setakat ini tiada pengakuan lisan dari suspek dan motif kejadian juga belum dikenalpasti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Kosmo! semalam melaporkan penduduk Bachang di sini gempar apabila batu nisan kira-kira 20 buah kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin ditemui rosak dipercayai angkara khianat. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, dua buah kubur turut ditemui dengan kesan terbakar.  - K! ONLINE