Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana pihaknya faham bahawa ada sesetengah masakan yang bukan makanan tradisi negara ini, perlu dimasak oleh tukang masak asal dari sesebuah negara bagi mengekalkan keaslian dan rasanya.

"Contohnya kalau pergi restoran makanan India, mereka ini mesti ada masakan serta hidangan asli dari negara mereka yang hanya rakyatnya saja tahu masak..kalau ambil orang Melayu Pokok Sena suruh masak, memang jadi gulai ayam lah," katanya selepas merasmikan [email protected] Peringkat Daerah Kota Setar/Pokok Sena di sini hari ini. 

Bagaimanapun beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya bercadang agar hanya ketua tukang masak sahaja yang dibenarkan untuk diambil dari luar, manakala pembantu tukang masak mestilah dari kalangan rakyat tempatan.

"Kerajaan sentiasa memberikan sedikit kelonggaran, tapi kita mesti galakkan pembantu chef lain ini mesti orang tempatan supaya mereka belajar dari chef luar, tapi kalau masakan Malaysia kenapa kita nak ambil tukang masak luar," katanya.

Mahfuz bagaimanapun menegaskan kesemua perkara yang berkaitan pengambilan tukang masak asing buat masa ini masih kekal sebagai cadangan, selagi ia belum dimuktamadkan.

Pada Rabu Mahfuz berkata kerajaan telah melantik Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) bagi mengkaji isu berkenaan dan berkata keputusan muktamad hanya akan diketahui pada Oktober ini. 

Mengulas mengenai isu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Mahfuz yang sebelum ini terkenal dengan kelantangannya menentang sistem itu berkata keputusan kerajaan memberi kuasa kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengambil alih pelaksanaannya adalah amat tepat dan bersesuaian.

"Dahulu AES ini hanya untuk syarikat swasta dapatkan keuntungan, tapi bila kerajaan ambil alih pelaksanaannya ia bertujuan untuk mendidik rakyat agar mematuhi peraturan manakala duit saman AES pada masa akan datang digunakan semula untuk kepentingan rakyat," katanya. 

Semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan pembatalan semua saman AES yang dikeluarkan sejak 2012 membabitkan 3.1 juta saman dengan nilai bayaran kira-kira RM435 juta.- Bernama