Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Loke Kam Chwee, 62, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. 

Rozilah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Kam Chwee membayar denda itu. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja di sebuah restoran di Batu Caves didakwa secara rasuah memberikan suapan wang tunai RM100 kepada anggota polis sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang memandu kenderaan yang telah tamat tempoh cukai jalan. 

Kesalahan itu dilakukan di Jalan SBC 3, Batu Caves dekat sini kira-kira pukul 3.45 petang, Rabu lalu.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tuan Attfina Tuan Kamaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) iaitu Koperal Muhammad Naqiuddin Ismail dan Koperal Khairul Naim Jaafar membuat rondaan dan menahan Kam Chwee yang memandu kereta jenis Proton Saga Aeroback.

Namun, tertuduh cuba memberi rasuah RM100 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh. - K! ONLINE