Tertuduh, Mohamad Fadil Mohamed Amin, 26, mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, pemuda itu didakwa merogol seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah rumah dalam daerah Melaka Tengah di sini pada pukul 7 pagi, 3 Mei lalu. 

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan samun terhadap mangsa sama dengan mengambil telefon bimbit, komputer riba, beg dompet yang mengandungi dokumen pengenalan diri, kad bank, wang tunai berjumlah RM200 dan segugus kunci rumah pada masa, tarikh dan di lokasi sama. 

Sabit kesalahan, Mohamad Fadil boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan di bawah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tiada sebarang jaminan dibenarkan ke atas tertuduh dan mahkamah menetapkan 13 Ogos depan untuk serahan laporan perubatan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - K! ONLINE