Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Mejar Mohd. Rohaidi Halim berkata, rumah mangsa dinaiki air disebabkan hujan lebat.

"Hujan lebat melanda kampung berkenaan dari pukul 5 petang hingga 8 malam semalam.

"Keadaan itu seterusnya menyebabkan air Sungai Teriang berhampiran kampung itu melimpah ke daratan," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.  

Mohd. Rohaidi berkata, keluarga terbabit dipindahkan sementara di Dewan Orang Ramai Kampung Juntai bermula pukul 3.45 pagi.

Menurut beliau, mereka terdiri daripada 13 lelaki dan 12 perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Jelas beliau, kesemua mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara itu setakat pukul 4.30 petang ini. - K! ONLINE