Ketua Pegawai Eksekutif MITC, Abdul Wahab Ibrahim berkata, tindakan drastik itu dibuat  selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Mahani Masban. 

Katanya, kawasan gerai jualan yang ditutup itu akan disertu mengikut keperluan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam negeri sebaik sahaja eskpo tersebut tamat esok. 

"Pihak MITC memohon maaf dan mengakui ini adalah satu kesilapan teknikal membabitkan penyusunan gerai makanan tidak halal yang spatutnya berada pada sudut lain. 

"Ini insiden yang pertama selepas ekspo sama diadakan sejak empat tahun lalu dan kami akan lebih memastikan perkara tersebut tidak berulang lagi pada masa akan datang," katanya pada sidang akhbar khas di MITC hari ini.

Menurut Abdul Wahab, pihaknya menyedari mengenai insiden itu selepas ia tular dalam laman  Facebook sehingga menimbulkan kemarahan netizen yang mengaitkan sensitiviti umat Islam. 

Dalam pada itu, Penganjur Lanceford Exhibition (M) Sdn. Bhd., Dicky Lee memberitahu, pihaknya menyasarkan pelanggan bukan beragama Islam dan sebanyak 60 daripada 170 buah gerai yang dibuka pada ekspo berkenaan menjual produk tidak halal. 

"Pada tahun lalu, lebih 90 peratus atau 40, 000 pengunjung yang datang ke ekspo yang menawarkan pelbagai produk pada harga lebih murah ini terdiri daripada mereka yang bukan Islam, " katanya. - K! ONLINE