ADUN Santan, Azizan Sulaiman yang mewakili ketujuh-tujuh ADUN itu termasuk dirinya berkata, mereka telah bersepakat untuk menjunjung titah Raja Perlis berhubung pelantikan Menteri Besar Perlis.

Enam lagi ADUN BN ialah Teh Chai Aan (Titi Tinggi), Asmaiza Ahmad (Chuping), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer), Roziana Ahmad (Pauh), Datuk Ismail Kassim (Tambun Tulang) dan Nurulhisham Yaakob yang menang di Simpang Empat.

"Saya dan enam lagi ADUN BN tidak berniat untuk menderhaka terhadap Tuanku Syed Sirajuddin.

"Namun, situasi yang berlaku adalah di luar kawalan iaitu perjumpaan bersama pucuk pimpinan parti di ibu negara pada tarikh dan waktu yang sama menyebabkan kami tidak menghadiri majlis pelantikan Menteri Besar.

"Kami bersepakat berada di ibu negara untuk menghadiri satu perjumpaan parti bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berhubung persetujuan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Azizan enggan memberikan sebarang komen lanjut kerana tidak ingin isu itu diperbesarkan lagi.

Dalam pada itu, Azizan berkata, mereka semua akan memohon sembah maaf dan menghadap Tuanku Syed Sirajuddin seberapa segera bagi menjernihkan suasana selain menjaga hubungan baik ADUN BN dengan pihak Istana.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, ADUN Beseri, Ruzaini Rais dan ADUN Kayang, Hamizan Hassan menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin berhubung pelantikan Menteri Besar Perlis.

 Pada PRU-14, BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perlis.

 Sembilan ADUN BN itu tidak hadir majlis angkat sumpah Menteri Besar di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin baru-baru ini. - K! ONLINE