White House dalam kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada Khamis lalu berkata, Trump juga mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas penyertaan mereka dalam kempen pilihan raya yang sengit dan aman.

"Amerika Syarikat berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam memperkukuhkan hubungan menyeluruh antara Amerika Syarikat dan Malaysia serta menangani cabaran antarabangsa dan serantau," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut hubungan Washington-Kuala Lumpur sudah sekian lama terjalin antara rakyat dan rakyat yang berkongsi nilai-nilai demokrasi dan hubungan komersial.

Dr. Mahathir mencipta sejarah pada Khamis, apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua pada usia 92 tahun.

Pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia susulan kemenangan bersejarah Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Rabu lepas. - Bernama