Rundingan yang tidak pernah berlaku sebelum ini turut dijangka bakal membebaskan tiga warga AS yang ditahan di Korea Utara.

White House berkata mesyuarat pertama AS dengan pemimpin Korea Utara akan berlangsung dalam beberapa minggu lagi.

Trump dijangka akan mendesak Korea Utara supaya melepaskan senjata nuklearnya.

Jurucakap White House, Sarah Sanders berkata, sekiranya Korea Utara bersedia melepaskan tiga warganya:

“Kami pasti akan melihat ia sebagai satu tanda perkara yang amat baik menjelang sidang kemuncak Trump dan Jong-un,”katanya.

Trump ketika bercakap dengan wartawan di luar White House menyifatkan bahawa antara perbincangan itu akan turut melibatkan mengenai tiga tahanan mereka.

“Kami akan mengadakan pelbagai perbincangan dengan Korea Utara dan banyak perkara baik telah berlaku berhubung tebusan AS. Saya berasa anda akan melihat lebih banyak perkara baik,” katanya kepada wartawan.

Kerajaan AS sedang menyiasat laporan bahawa tiga warga AS yang ditahan sejak beberapa tahun lalu di Korea Utara sudah dipindahkan dari kem buruh ke hotel berhampiran Pyongyang, ketika ramai berharap mereka dilepaskan sebelum pertemuan itu. - Reuters