Bagi penduduk di kawasan ini, mereka lebih selesa untuk membeli-beli di pasar minggu yang terletak di pusat bandar ini.

Seorang penduduk, Mohd. Hassan Mohd. Nor, 44, berkata, walaupun Aidilfitri semakin hampir, namun sudah menjadi trend sebahagian masyarakat di kawasan ini apabila ramai yang memilih untuk melakukan persiapan pada saat-saat akhir.

“Kemeriahan membeli-belah di saat akhir juga lebih dirasai apabila penjual mula menurunkan harga berbanding ketika di awal Ramadan lalu. Ketika ini bukan sahaja di pusat membeli-belah sesak dengan orang, tetapi juga di bank. 

"Walaupun terpaksa bersesak, ia tidak menjadi masalah besar bagi mereka, asalkan keperluan raya yang berkenan di hati berjaya diperolehi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang kakitangan kerajaan, Norhayati Ab. Kadir, 53, pula berkata, dia memilih untuk membuat persiapan awal sebelum bulan Ramadan lagi bagi kelengkapan ahli keluarganya.

“Kami beli awal bagi mengelakkan pembelian secara panik di saat akhir selain boleh merancang sama ada sesuatu barangan itu dibeli kerana keperluan atau keinginan.

"Hari ini saya jalan-jalan tengok orang ramai. Berdasarkan pemerhatian saya, harga barangan ada yang turun dan ada yang naik. Jadi kita sebagai pengguna perlu buat pilihan bijaklah," katanya.

Bagi seorang peniaga tudung, Nor Salsabila Nawi, 25, walaupun Aidilfitri akan disambut kira-kira seminggu lagi, namun dia telah mula menawarkan harga rendah untuk para pembelinya.

“Kebanyakan pelanggan lebih berhati-hati dengan membuat perbandingan harga. Memang sejak semalam pelanggan tak berhenti datang dan jualan pun meningkat.

"Sejak ‪pukul 8‬ pagi tadi, pelanggan sudah ramai dan kita bagi tawaran harga untuk hari raya. Biasanya kalau sehelai tudung dijual RM10, hari ini kita buat tawaran harga tiga helai tudung dengan harga RM25," katanya. - K! ONLINE.