Mayat Aniq Imran Yusof, 13, terapung ditemui pada pukul 5.40 petang kira-kira lima meter dari tebing lombong lokasi mangsa terjatuh.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Othman Baher berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.59 petang.

"Kita menghantar sepasukan lima anggota dan sebuah jentera bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Mangsa dipercayai terjatuh dari tebing setingi 5 kaki ke dalam lombong bekas tapak kuari yang kedalaman lebih 100 kaki ketika mandi bersama abang dan rakannya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Othman berkata, mangsa bersama abang serta rakannya dikatakan tiba di kawasan lombong itu pada pukul 4.30 petang sebelum mangsa tergelincir jatuh dan lemas.

Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - K! ONLINE.