Bapa angkat Allahyarham, Shamsuddin Abdullah, 47, berkata biasanya anaknya itu sukar berkongsi barangan dengan adik beradiknya yang lain.

Shamsuddin berkata, namun, pagi tadi, perubahan sikap Allahyarham yang tiba-tiba mengamanahkan hamster yang diperoleh daripada ibu saudaranya kepada adik bongsunya mencuri tumpuan beliau dan isteri tetapi mereka tidak berkata apa-apa.

"Biasanya arwah jenis susah memberi barangan kepada orang, apatah lagi dia telah berebut hamster berkenaan dengan adik-adiknya yang lain malam semalam.

"Tetapi tiba-tiba dia berbuat demikian, siapalah sangka ini merupakan satu petanda," kata Shamsuddin yang ditemui pemberita di tempat kejadian, malam ini.

Menurutnya Allahyarham anaknya itu merupakan anak kelima daripada enam adik beradik dan menjadi anak angkatnya sejak kecil.

Ketika berumur tujuh tahun pula, Allahyarham dikesan hyperaktif menyebabkan dia tergolong dalam   kumpulan  orang kurang upaya (OKU).

"Disebabkan keadaannya itu, dia selalu bermain dengan anak-anak jiran di kawasan blok rumah kami iaitu di Pangsapuri Kampung Desa Hajah Hasnah, Bakar Batu.

"Tetapi, hari ini dia tiba-tiba di sini, saya pun terkejut," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang tadi, Mohammad Affiq Afnan, 9, bersama enam rakannya mandi di kawasan itu sebelum hilang bersama seorang daripadanya iaitu Norfifi Alisha Natalia Afidan Shah, 12.

Mayat Norfifi Alisha Natalia ditemui pasukan penyelamat pada 6.26 petang manakala Mohammad Affiq Afnan, pada 8.30 malam, di tepi lombong berkenaan.

Lima yang selamat pula, adik kepada Norfifi Alisha Natalia iaitu Mohd Danish Ashraf Afidan Shah, 10; serta empat rakan - Rizman Ismail, 13;  Ghismawi Ismail, 9; Muaz Ibrahim, 9; dan Mohd Danish Omar, 10. - Bernama