Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, setakat pukul 5.30 petang ini, aliran trafik di kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan perlahan dan terkawal.

Beliau berkata, perjalanan menuju ke utara dari Jelapang menuju ke Terowong Menora dan Sungai Perak ke Kuala Kangsar agak perlahan termasuk perjalanan ke arah selatan iaitu dari Seremban ke Ayer Hitam ekoran pertambahan kenderaan di lebuh raya.

Sementara itu, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), trafik dilaporkan perlahan dan terkawal bermula dari Karak menuju ke Kuala Terengganu melalui Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) manakala kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) juga bergerak perlahan dari Plaza Tol Kuala Terengganu menuju ke arah timur.

"Trafik di  Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pula bergerak perlahan dari Plaza Tol Gombak sehingga ke Pantai Timur dan dari Stesen Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) ke Terowong Genting Sempah," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di talian 1800-88-7752 atau merujuk laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama