Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar berkata, lawatan kerja ke negara ini adalah yang pertama bagi Wan Azizah selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, 12 Mei tahun lalu.

“Wan Azizah akan mempengerusikan Mesyuarat Biro MOST pada 18 Mac dan Sesi Ke-14 Majlis Antara Kerajaan (IGC) bagi MOST yang akan berlangsung dari 19 hingga 20 Mac, di bangunan ibu pejabat UNESCO di Place de Fontenoy, di sini.

“Kedua-dua mesyuarat itu dihadiri atas kapasitinya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang juga presiden Biro IGC bagi penggal 2017 hingga 2019,” katanya pada sidang akhbar mengenai lawatan Timbalan Perdana Menteri itu di sini semalam.

MOST adalah program sains antara kerajaan UNESCO mengenai transformasi sosial bagi menggalakkan penyelidikan sains sosial yang akan diguna oleh pembuat dasar pada peringkat global yang terdiri daripada 35 negara anggota UNESCO, termasuk Perancis, Turki, Russia, Argentina, Indonesia dan Arab Saudi.

Azfar berkata, selain mempengerusikan dua mesyuarat itu, jadual padat Timbalan Perdana Menteri diisi dengan pelbagai program bermula pada hari ketibaannya di sini, hari ini, dengan menghadiri taklimat bersama sekretariat MOST mengenai agenda mesyuarat berkenaan yang akan diadakan di sebuah hotel di sini.

Katanya, pada sebelah malam, Wan Azizah akan menghoskan jamuan malam bersama komuniti dan pelajar Malaysia yang berada di negara ini.

“Pada hari kedua, selain mempengerusikan Mesyuarat Biro IGC, Wan Azizah juga dijadual menghadiri Festival Buah-buahan Tropikal Malaysia yang diadakan bertujuan mempromosikan buah-buahan Malaysia kepada delegasi dan perwakilan negara anggota UNESCO,” katanya.

Azfar berkata, pada hari ketiga lawatan, Wan Azizah akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay, yang dilihat sangat penting bagi menyatakan kedudukan Malaysia dalam isu sosial.

Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis yang dilihat sebagai agenda paling signifikan di mana beliau dijangka cuba meyakinkan mereka mengenai isu minyak kelapa sawit Malaysia.

“Isu minyak kelapa sawit ini sudah lama berlarutan di mana pihak Eropah menolak minyak kita, jadi dalam pertemuan ini, Timbalan Perdana Menteri akan cuba meyakinkan pihak Perancis mengenai usaha kita di mana tanaman kelapa sawit di Malaysia tidak menyebabkan deforestation seperti yang didakwa Eropah.

“Memandangkan Perancis antara ‘leading country’ dalam Kesatuan Eropah (EU), jadi kita berharap dapat meyakinkan ahli Parlimen mereka yang seterusnya dapat mempengaruhi negara anggota EU yang lain,” katanya.

Dalam lawatan ini, Wan Azizah juga dijadual berkunjung ke Masjid Besar Paris sebelum mengadakan pertemuan dengan Menteri Negeri bagi Orang Kurang Upaya Perancis, Sophie Cluzel, untuk berkongsi pandangan dan usaha kedua-dua negara berkaitan golongan kurang upaya.

Pada hari terakhir lawatan, Azfar berkata, Wan Azizah akan mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Majlis Komuniti Muslim Perancis, Anouar Kbibech.

“Selepas itu, Wan Azizah akan menghadiri mesyuarat Sesi Ke-14 IGC MOST dan pulang terus ke tanah air sebaik mesyuarat tamat pada tengah hari,” katanya. – BERNAMA