Beliau berkata, dasar yang dipersetujui Jemaah Menteri dan ditandatangani Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini. 

"Dasar ini mesti dihormati oleh majikan dan pekerja. Jika tidak, ini boleh mengakibatkan pelanggaran perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Tindakan punitif akan diambil oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) seperti notis, sita, kompaun dan tindakan mahkamah di semua sektor pekerjaan. Ia bukan lagi sekadar cakap-cakap, " katanya ketika berucap pada majlis anugerah cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 dan pelancaran DKKPN di sini hari ini. 

Tambahnya, dasar berkenaan adalah sebahagian daripada Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2016-2020 dan merupakan sejarah baharu dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini. - Bernama