Dalam sesi dua jam bertajuk Pelaburan Mengambil kira Risiko dan Ekonomi Pengurangan Risiko Bencana (DRR), beliau berkongsi inisiatif Malaysia dalam membantu sektor swasta dan awam untuk membuat pelaburan yang mengambil kira risiko.

Wan Azizah berkata, inisiatif berkenaan, termasuk pelan bencana menyeluruh yang membolehkan pengguna mengenal pasti kawasan yang mudah terdedah kepada bencana sebelum membuat keputusan pelaburan mereka, selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Rangka Kerja Sendai.

Inisiatif lain, termasuk penggunaan garis panduan pembinaan dan bangunan yang mengambil kira keperluan pengurangan bencana, pengurangan risiko bencana arus perdana dalam perancangan pembangunan dan pembabitan dengan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat.

“Kami berharap dengan menyatukan sumber dan pelaburan semua pihak berkepentingan, dasar dan program yang lebih inklusif dan efektif mengenai DRR dapat dilaksanakan,” katanya pada sesi berkenaan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Geneva (CICG), di sini, hari ini.

Wan Azizah mengetuai delegasi Malaysia edisi ke enam GPDRR, acara dwitahunan yang diselaraskan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pengurangan Risiko Bencana dan adalah forum paling utama di peringkat antarabangsa untuk perkongsian strategik, koordinasi, pembangunan perkongsian dan semakan pembangunan pelaksanaan instrumen pengurusan risiko bencana.

Beliau menambah, kerajaan juga mengambil inisiatif untuk mengenal pasti mekanisme kewangan untuk menyokong daya tahan dengan meneroka perkongsian awam-swasta, termasuk rancangan untuk mewujudkan skim pemindahan risiko dan insurans bencana.

“Sudah pasti, keperluan untuk pelaburan dalam daya tahan adalah penting, tetapi dilema yang kita hadapi ialah kos usaha pengurangan risiko bencana mengalihkan sumber kewangan kepada keutamaan lain,” katanya, dan menambah bahawa kerajaan seperti banyak negara lain memperuntukkan dana kebanyakannya untuk menghadapi bencana dan bukan untuk pencegahan dan pengurangan.

Menurutnya lagi, Malaysia kini menghadapi cabaran dalam memberikan lebih banyak keutamaan kepada usaha pencegahan dan pengurangan melalui pelaburan DRR kerana didapati lebih ekonomi untuk memberi tumpuan kepada persiapan, bukannya bertindak balas terhadap bencana. - Bernama