Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, mesyuarat itu antaranya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Mahkamah Syariah yang dipanggil demi kepentingan terbaik kanak-kanak terbabit.

"Apa yang kita nak lakukan adalah pertemuan dengan JKM, Mahkamah Syariah dan semua agensi berkaitan supaya kita dapat memberi kepentingan terbaik kepada kanak-kanak berkenaan.

"Ini penting...apa-apa kepentingan terbaik kepada kanak-kanak ini kenalah diambil maklum dan dibuat pertimbangan sewajarnya untuk menjaga hak anak-anak yang sepatutnya kita menjadi penjaga terbaik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri  Parlimen Tawau di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki berusia 41 tahun melangsungkan perkahwinan dengan seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun sebagai isteri ketiganya di Gua Musang, Kelantan, tular di media sosial sejak Jumaat lepas, selepas perkara itu dikongsikan isteri kedua lelaki terbabit.

Berikutan penularan berita itu, pengguna laman sosial daripada pelbagai lapisan masyarakat mengkritik tindakan lelaki berkenaan dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku.

Siasatan awal JKM Kelantan mendapati perkahwinan tersebut dijalankan di Golok, Thailand dan ibu bapa kanak-kanak itu juga merupakan warganegara Thailand. - Bernama