Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, beliau yang terlibat secara langsung dalam proses penilaian dan pemilihan calon untuk PRK Semenyih itu tidak menemui nama Siti Nurhaliza dalam senarai tersebut.

“Itu khabar angin sahaja kot sebab saya terlibat dalam proses pemilihan calon dan nama dia (Siti) tidak timbul setakat ini dan tak tahu la kalau ada cadangan lepas ni. Jadi anggota Bersatu atau tidak, itu pun saya tidak pasti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya Siti Nurhaliza akan bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Semenyih yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan.

Siti Nurhaliza pada 5 Februar menafikan khabar angin kononnya beliau akan menjadi calon Pakatan Harapan dalam PRK DUN Semenyih.

Dalam posting Instagram, penyanyi popular itu yang menggunakan hashtags #BukanDunSemenyih #sayabukancalonbertanding #sayacumakayuhje dengan disertakan gambar beliau dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa berbasikal ke empangan Semenyih.

PRK Semenyih itu diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung. - Bernama