Bagaimanapun katanya, ia hanya merebak di kawasan berhampiran dan keadaan itu terkawal dengan bomba masih meneruskan operasi memadamkan titik kebakaran yang masih ada menggunakan jalan darat.

"Pada sebelah pagi tadi, kami gunakan helikopter MI-17 untuk mengesan dan memadamkan kebakaran di kawasan yang sukar dihampiri tambahan pula cuaca tidak panas dan angin kurang pada waktu pagi.

"Tetapi, kami terpaksa hentikan penggunaan helikopter lebih awal berikutan angin kuat pada waktu tengah hari. 

Selain menggunakan fire beater dan jet shooter, kami juga gunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP)," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Jamil berkata, walaupun proses pemadaman menampakkan perkembangan positif, pihaknya akan terus memantau bagi memastikan ia tidak merebak ke kawasan perusahaan dan kediaman penduduk.

"Petang ini, kami lihat cuaca macam hendak hujan tapi sehingga sekarang hujan masih belum turun lagi. Sekiranya hujan lebat, ia dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemadaman api yang masih ada," katanya.

Punca kebakaran itu yang bermula Rabu lepas belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian. - Bernama