Beliau yang ditemui pemberita selepas istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 di Istana Negara hari ini berkata, beliau sama sekali tidak menduga Seri Paduka akan bertindak sedemikian selepas melihat beliau yang bertongkat akibat kecederaan yang dialaminya 10 tahun dahulu ketika bertugas.

"Saya rasa terharu. Mungkin Yang di-Pertuan Agong rasa saya susah untuk naik (anak tangga singgahsana) sebab berjalan pakai tongkat.

"Sebenarnya saya terperanjat. Tuanku beri signal (kepada saya) jangan naik (anak tangga singgahsana) dan bertitah "Tidak apa saya turun", kata Abd. Latif yang menyifatkan tindakan Seri Paduka itu sebagai satu penghargaan daripada seorang raja yang berhati mulia kepada rakyat yang cuba berbakti kepada negara.

Menurut Abd Latif, Al-Sultan Abdullah juga sempat bertanya keadaan dirinya: "Dah lama ke sakit, boleh berjalan ke.

Menjawab pertanyaan Seri Paduka, Abd Latif memberitahu beliau boleh tetapi tidak boleh berdiri lama kerana pernah jatuh dulu sewaktu bekerja.

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Abd. Latif yang akan bersara pada tahun depan dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Pada tahun ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 795 individu daripada pelbagai kategori.

"Penghargaan ini adalah kurniaan terbaik yang saya dapat di peringkat Persekutuan. Ini membuktikan kita perlu terus berbakti dan berjasa bukan untuk diri sendiri tetapi untuk negara," katanya. - Bernama