Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Air Tawar, Mohamad Azlan Mahayidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 12.30 tengahari sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian. 

Menurutnya, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dan dua kanak-kanak lelaki berusia 7 dan 8 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan selepas operasi menyelamat selesai. 

"Difahamkan kanak-kanak itu dikurung oleh bapa mereka dalam cubaan membunuh diri bersama. Mangsa dipercayai membuka injap tabung LPG untuk membakar rumah tersebut. 

"Bagaimanapun, usaha tersebut gagal apabila pihak kami berjaya masuk dari bahagian belakang rumah dengan mengumpil pintu belakang dalam usaha menyelamatkan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Mohamad Azlan, pihaknya berjaya memujuk mangsa dalam tempoh kira-kira 15 minit sebelum mereka dibawa ke tempat yang lebih selamat. 

“Mangsa dipercayai mahu membunuh diri kerana isterinya telah pulang ke Vietnam dan mangsa juga dipercayai mahu meminum racun.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.55 tengah hari. - K! ONLINE