Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, mangsa, Haznah Ali, 59, serta dua beradik perempuan, Weaam Lukman, lapan bulan dan kakaknya, Wedad, 2,  disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman yang dialami.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd. Said Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang warga Thailand, Lukman Waeni, 31, dirempuh oleh sebuah kereta Perodua Axia dari arah belakang. 

Menurut beliau, Proton Wira yang menghala ke Kuala Terengganu dari Kuantan itu dikatakan berhenti di bahu kiri jalan untuk berehat sebelum Perodua Axia dari arah sama yang dinaiki Haznah merempuh kereta tersebut. 

“Perodua Axia yang dinaiki Haznah bersama tiga lagi penumpang lain telah melanggar kereta Proton Wira yang dipandu oleh bapa kedua-dua beradik itu. 

“Akibat rempuhan yang kuat daripada arah belakang, bayi dan kanak-kanak perempuan yang berada di tempat duduk penumpang telah tercampak keluar ke atas lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. 

Tambah Mohd. Said, sepasukan anggota perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Seri Bandi dekat sini yang tiba tidak lama kemudian di lokasi kejadian mengesahkan ketiga-tiga mangsa sudah meninggal dunia. 

Jelas Mohd. Said, seorang lagi mangsa wanita yang juga penumpang Proton Wira itu parah akibat patah paha manakala empat lagi individu mengalami cedera ringan. 

“Ketiga-tiga mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi proses bedah siasat manakala individu yang cedera dilaporkan stabil,” ujarnya. - K! ONLINE