Ketiga-tiga mereka yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muadzam Jaya, Rompin itu meraih pingat emas menerusi kategori Rapid bawah 14 tahun berkumpulan.

Lanida berkata, dia mula bermain catur setelah menyertai Persatuan Catur Sekolah Kebangsaan Muadzam ketika berusia lapan tahun sebelum terpilih mewakili Pahang di Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia 2015 di Pulau Pinang.

"Semasa di SMK Muadzam Jaya pula, saya mula bermain dengan lebih serius dan menyertai kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan," katanya kepada pemberita.

Kejohanan tersebut diadakan selama sembilan hari di Hotel Grand Darul Makmur di sini bermula 26 November lalu dan dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah selaku penaung Persatuan Catur Pahang (PCP) yang bertindak sebagai penganjur.

Presiden PCP, Hamidah Abdul Hamid semasa dihubungi berkata, kejohanan tersebut disertai 257 pelajar sekolah berusia bawah 18 tahun dari tujuh negara anggota ASEAN.

"Malaysia menamatkan kejohanan di tempat ketiga dengan kutipan lapan emas, 43 perak dan 41 gangsa. Juara dimenangi Filipina dan Indonesia di tempat kedua.

"Kita juga berbangga apabila Malaysia mencatat pencapaian terbaik di peringkat ASEAN menerusi kejohanan ini.

"Pencapaian tiga pelajar Orang Asli tersebut juga merupakan antara yang terbaik dan patut dibanggakan semua pihak," kata beliau. - K! ONLINE