Tiga remaja lelaki yang hilang dalam kejadian pada pukul 6.23 petang tersebut ialah Shahir Aqil Shahrun, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi dan Ahmad Daniel Firdaus Zubir yang kesemuanya berusia 19 tahun.

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, sewaktu kejadian, ketiga-tiga mangsa sedang mandi-manda bersama empat rakan lain pada kedudukan 15 hingga 30 meter dari Pantai Teluk Kalong dekat sini.

"Sewaktu mereka sedang leka mandi-mandi tiba-tiba datang ombak besar. Empat daripada mereka sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

"Begitupun, ketiga-tiga mangsa gagal menyelamatkan diri lalu hilang dipercayai di bawa arus deras akibat ombak besar terbabit," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Kasyfi Syahmi berkata, pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada 34 pegawai dan anggota JBPM Terengganu, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Maritim Malaysia telah ditubuhkan sejurus menerima maklumat tentang kejadian tersebut.

Menurut beliau, setakat ini usaha pencarian di kawasan sekitar masih gagal menemui Shahir Aqil, Khairil Ikmal Danial dan Ahmad Daniel Firdaus.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamat dihentikan sementara pada pukul 7.20 malam tadi dan bakal disambung awal pagi esok," katanya. - K! ONLINE