Keenam-enam mereka merupakan antara 93 murid Tahun 1 yang berdaftar dengan sekolah itu pada tahun ini.

Bapa kepada pasangan Muhammad Syits Daniel dan Muhammad Syits Danish iaitu Shamsuri Saad, 37, menjelaskan, kedua-dua anaknya itu sangat gembira untuk memulakan hari pertama persekolahan apabila sering mencuba pakaian seragam yang dibeli.

“Kedua-dua mereka sangat teruja untuk bersekolah selepas saya membeli pakaian dan kelengkapan baru untuk mereka.

“Setiap hari mereka mencuba pakaian tersebut dan kerap bertanya bila boleh mula bersekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di SK Silibin hari ini.

Tambah Shamsuri, dia sedikit risau apabila pasangan tersebut dipisahkan di dalam kelas berlainan kerana kedua-dua anaknya itu tidak pernah berpisah dan sering melakukan aktiviti bersama sebelum ini.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Silibin, Badrul Hisham Yusof menjelaskan, seramai 90 daripada 93 murid Tahun 1 telah mendaftar dan hadir ke sekolah bagi sesi 2018 yang bermula hari ini.

“Ini merupakan kali pertama sekolah ini menerima kemasukan tiga pasangan kembar seiras serentak bagi sesi tahun ini.

“Kita telah menyusun mereka untuk berada di kelas berlainan agar mereka dapat berdikari dan jumlah pelajar di dalam kelas juga diatur dengan seimbang agar tidak terlalu padat,” katanya. - K! ONLINE