Kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang datang dari arah Kuah menghala Ayer Hangat hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh bas jenis Hino.

Mangsa yang cedera ialah pemandu Myvi, Mohd Sukri Idris, 24, dan dua penumpang kereta tersebut iaitu Mohd. Sabri Hussin, 24 dan Zakaria Ismail, 26.

Sementara dua daripada 30 penumpang bas JBPM dilaporkan mengalami kecederaan ringan. 
Bas tersebut dikatakan dalam perjalanan untuk menghantar kakitangan JBPM menghadiri kursus di Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi. 

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kemalangan itu mengakibatkan tiga lelaki yang menaiki Perodua Myvi cedera iaitu pemandu, Mohd. Sukri cedera pada kaki dan kepala; penumpang hadapan, Mohd. Sabri cedera pada kepala dan tangan manakala Zakaria cedera pada kepala dan kaki.

"Ketiga-tiga mangsa masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan saksi kejadian," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Akta Pengangkutan Jalan 166/59. - K! ONLINE