Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.40 pagi.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu merempuh bas tersebut.

“Kemalangan menyebabkan tiga penumpang iaitu seorang lelaki dan dua wanita dewasa maut di tempat kejadian apabila tercampak daripada kereta manakala dua lagi lelaki cedera ringan.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis manakala semua 16 penumpang bas ekspres tidak mengalami kecederaan dan meneruskan perjalanan ke Alor Star,” katanya. - Bernama