Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional, A. Sivanesan berkata, tiga murid tahun dua itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menerima rawatan lanjut dan seorang daripada mereka telah dibenarkan pulang hari ini

Jelasnya, selepas menerima rawatan, pihak hospital telah mengeluarkan laporan awal terhadap ketiga-tiga murid dengan masing-masing melecur sebanyak empat peratus, lima peratus dan 17 peratus pada anggota badan.

"Murid yang mengalami lecur kulit sebanyak empat peratus telah dibenarkan keluar dari hospital manakala kulit badan seorang lagi yang melecur lima peratus sudah beransur pulih dan masih dirawat di HRPB.

"Mangsa yang melecur paling teruk iaitu 17 peratus telah menjalani pembedahan kulit hari ini. Bagaimanapun, pembedahan susulan akan dijalankan terhadapnya dalam tempoh terdekat berikutan terdapat beberapa bahagian kulitnya telah rosak akibat insiden itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kosmo! Online Khamis lalu melaporkan, seorang murid tahun dua melecur di dari paras leher hingga ke kaki bahagian depan badannya selepas dipercayai terkena air panas di dalam cerek elektrik. 

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa mengalami lecur kulit tahap dua dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU), HRPB.

Bapa kepada mangsa, M. Loganathan, 46, mendakwa kejadian tersebut terjadi akibat kecuaian guru tersebut yang dipercayai tidak sengaja menjatuhkan cerek elektrik plastik sehingga air panas tumpah ke badan anaknya.

Sementara itu, Sivanesan berkata, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat punca kejadian tersebut.

Jelasnya, setakat ini, beliau menasihatkan keluarga mangsa fokus menjaga anak-anak mereka untuk proses pemulihan kulit mereka.

"Selepas pihak hospital mengeluarkan laporan penuhkesihatan mangsa, ibu bapa boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak sekolah dan guru yang terlibat sekiranya berlaku percanggahan maklumat mengenai insiden tersebut," katanya. - K! ONLINE