Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mereka ditahan selepas pihak polis menerima maklumat bahawa terdapat sebuah kereta Proton Iswara berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki berusia antara 38 hingga 58 tahun berada dalam kereta tersebut. Salah seorang daripadanya memakai vest yang mempunyai lambang KPDNHEP.

“Siasatan lanjut mendapati mereka baru sahaja selesai menyamar sebagai pegawai KPDNHEP dengan menyerbu sebuah kedai runcit di Sitiawan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Tambah Muhammad Hanif, mereka bertiga turut mengaku telah melakukan tiga serbuan di Manjung sejak bulan Oktober lalu. 

“Salah seorang daripada mereka menggunakan pengalaman sebagai bekas pekerja di kementerian tersebut untuk melakukan perbuatan tersebut. 

“Polis merampas sehelai vest berlambang KPDNHEP, sehelai jaket, baju T, tali pinggang, sepasang gari, sebatang cota, beberapa kotak rokok dan sebuah kereta proton iswara.

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai jenayah rekod lampau,” katanya. 

Katanya, semua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 11 Januari untuk siasatan lanjut. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana  kesalahan melakukan pemerasan dan menyamar sebagai penjawat awam,” katanya. 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhammad Hanif berkata, pihaknya berjaya menahan seorang remaja berusia 17 tahun kerana disyaki memiliki senapang di tepi jalan Taman Pantai Wang, Pantai Remis,Sabtu lalu.

Katanya, tangkapan dilakukan kerana suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan dan sedang menggalas sesuatu objek menyerupai senapang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, objek tersebut adalah senapang angin. Suspek memberitahu senapang tersebut diberi pinjam oleh kawannya dan digunakan untuk menembak ayam hutan.

“Suspek yang sudah tidak bersekolah sejak tingkatan satu itu juga mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Syabu. Suspek telah ditahan reman selama lima hari sehingga 9 Januari ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971. - K! ONLINE