Tiga lelaki tempatan berusia 26, 35 dan 52 tahun itu ditahan di tepi jalan tanah merah di kawasan Batu Pengasah, Kota Putra kira-kira pukul 7 malam.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris memberitahu, sepasukan Aksem yang melakukan rondaan menemui sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dan motosikal Honda EX5 yang diletakkan di tepi jalan.

"Anggota Aksem kemudian menghampiri kenderaan tersebut dan menemui tiga lelaki yang mengaku sebagai pemilik kenderaan tersebut.

"Pemeriksaan lanjut menemui 104 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum dianggarkan bernilai RM20,000 di dalam Toyota Unser," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - K! ONLINE