Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan perintah reman tersebut di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek utama berusia 38 tahun yang merupakan pekebun pisang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang pada malam tadi selepas kes kematian mangsa menjadi tular di media sosial.

"Suspek kedua dipercayai rakan mangsa yang turut terlibat mencuri pisang dan suspek ketiga merupakan anak saudara pekebun tersebut ditahan untuk membantu siasatan kerana berada di lokasi kejadian," katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan mayat seorang lelaki yang masih belum dikenali identiti ditemui tertiarap berhampiran beberapa tandan pisang nangka di pekarangan sebuah rumah di Kampung Tebakang, Bukit Payung dekat sini.

Penemuan mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an pada pukul 4.30 petang itu telah menimbulkan spekulasi yang tular di media sosial kononnya dia telah dipukul hingga mati kerana mencuri pisang. - K! ONLINE