Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ketiga-tiga individu tersebut yang ditahan ialah Eric Liew Chee Ling, 46; Azham Akhtar Abdullah, 27, dan Nur Alia Astaman, 26.

“Pemilik akaun Facebook, Eric Liew dan dua akaun Twitter masing-masing milik @azhamakhtar serta @aliaastaman yang telah ditahan susulan daripada pihak polis menerima beberapa laporan berhubung tindakan mereka yang memuat naik komen berunsur hinaan menerusi media sosial milik mereka berkenaan.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fuzi turut menasithatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dengam tidak mengeluarkan kenyataan bersifat provokatif.

“Kenyataan seperti memanipulasi juga harus dielakkan lebih-lebih lagi mengenai isu perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 sehingga mampu menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja negara ini,” tegasnya.

Hari ini Kosmo! melaporkan pasangan suami isteri, Azham Akhtar dan Nur Alia telah digantung tugas oleh majikan masing-masing ekoran daripada hantaran serta komen di laman Twitter yang mengecam keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Majikan kepada pemilik Facebook, Eric Liew, Cisco ASEAN juga turut memaklumkan bahawa pekerja tersebut tidak lagi bekerja dengan syarikat berkenaan serta menyatakan kenyataan yang dikeluarkan Eric Liew dalam kapasiti peribadi bukan mewakili pandangan Cisco ASEAN. - K! ONLINE