Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang maut S. Elangovan, 38, dan isterinya, K. Kaliammah, 36, serta anak mereka E. Vinesh.

Jelas beliau, seorang lagi anak mangsa dikenali sebagai Praven melecur pada bahagian kaki dan kesemua mangsa ditemui oleh rakan Elangovan yang datang ke kandang itu mencari mereka.

"Mangsa keluar rumah untuk memasukkan kambingnya ke kandang pada pukul 5 petang dan tidak pulang sehingga pukul 10 malam. Ibunya mengadu kepada rakan mangsa kerana risau hujan lebat dan petir pada waktu petang.

"Rakan mangsa telah pergi ke kandang kambing tersebut dan terdengar tangisan Praven. Selain itu terdapat tiga individu terduduk dan terbaring kaku di kawasan kandang itu," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, pemeriksaan dalam kandang pula mendapati terdapat tujuh ekor kambing bergelimpangan dengan kesan terbakar pada bulu badan.

Tambah beliau, terdapat dua ekor anjing turut ditemui mati dengan kesan yang sama di bahagian bawah kandang kambing berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - K! ONLINE