Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, tiga beradik, Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil,2, Muhammad Firash Zaffril,3, dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq,5, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, suspek yang berusia 37 tahun ditahan selepas mengamuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Muhamad yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.

Jelasnya, dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, suspek yang merupakan rakan kepada bapa ketiga-tiga mangsa bertindak menceroboh rumah tersebut.

“Suspek dipercayai melibas parang yang dipegangnya ke arah ketiga-tiga mangsa dan menyebabkan mereka maut di lokasi kejadian.

“Selain itu, suspek turut menetak ibu mangsa, Zuraidah Md. Ali yang berusia 35 tahun sehingga menyebabkan pergelangan tangan kirinya terkulai dan ibu jari kanannya putus,” katanya.

Menurut Yahya, lelaki itu bekerja sebagai pemungut kelapa sawit bersama bapa mangsa, Mohd. Fadzil Mohamad,32, dan dipercayai berhalusinasi selepas terdengar bisikan sejak beberapa hari lalu.

Jelasnya, berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai merupakan seorang penagih dadah namun, ujian saringan air kencing masih belum dijalankan terhadap lelaki itu.

“Selain tiga mangsa yang maut dan ibu mereka cedera parah dalam kejadian itu, suspek turut menyebabkan kecederaan terhadap kakak tiga beradik itu dan rakannya yang masing-masing berusia 9 tahun.

“Selain itu, lelaki itu turut melibas parangnya ke arah seorang guru SK Sungai Haji Muhamad yang berusia 40 tahun selepas mengamuk di sekolah tersebut,” katanya.

Ujarnya, ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dekat sini untuk dibedah siasat manakala ibu mereka dirawat di Hospital Teluk Intan.

Tambah Yahya, suspek akan ditahan reman bermula esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - K! ONLINE