Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, mengesahkan mengenai kejadian tersebut namun, enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.

“Sejurus selepas menerima maklumat mengenai penemuan bangkai penyu tersebut pagi tadi, pegawai kami segera ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di sana bangkai hidupan marin itu gagal ditemui kerana disyaki sudah dihanyutkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah Agustine, bagi peringkat seterusnya pihaknya akan mengambil keterangan daripada saksi yang dikatakan menyaksikan tiga bangkai penyu terbabit terapung kira-kira dua kilometer dari Pulau Mabul.

Terdahulu, difahamkan bangkai penyu itu ditemui oleh seorang penduduk yang dikenali sebagai Joe pada pukul 9.20 pagi semalam.

Pada ketika itu, individu tersebut sedang melalui kawasan perairan berkenaan bersama sekumpulan pelancong dari China menuju untuk ke Pulau Mabul.

Penemuan tiga bangkai penyu itu merupakan kejadian kedua berlaku di lokasi tersebut selepas tujuh ekor bangkai penyu spesis yang sama ditemui hanyut dalam keadaan berikat antara satu sama lain pada 28 September lalu. - K! ONLINE