Tiga anggota polis berkenaan masing-masing berpangkat Sarjan, Koperal dan Lans Koperal yang bertugas di Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik
manakala orang awam itu bertindak sebagai 'runner'.

Kesemua suspek tersebut berusia 29 hingga 33 tahun.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tangkapan kesemua suspek itu dilakukan di rumah mereka masing-masing di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam yang dilakukan oleh SPRM Pulau Pinang dengan dibantu SPRM Selangor. 

Katanya, kegiatan rasuah itu dilakukan oleh suspek hampir enam tahun bermula 2012.

"Setiap anggota polis mampu memperoleh secara puratanya sebanyak RM300 sehari.

"Orang awam yang bertindak sebagai runner itu akan mencari pemilik-pemilik kenderaan yang ingin berurusan dengan suspek-suspek terlibat bagi menutup saman lalu lintas mereka," katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Sumber itu menambah, setakat ini SPRM telah berjaya mengesan 23 pemilik kenderaan yang berurusan dengan kumpulan suspek tersebut.

Jelas sumber itu, kes kini disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi Kosmo! Online mengesahkan  perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut. - K! ONLINE