Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, perasaan tidak puas hati antara mangsa, Masri Pandak, 37, dengan suspek yang berusia 52 tahun itu disyaki bermula sejak tiga bulan lalu.

"Suspek beranggapan mangsa cuba untuk masuk campur urusan kewangan dan pekerjaannya di kilang tersebut selain menyebarkan cerita kurang enak mengenai dirinya kepada orang lain.

"Perkara itu menyebabkan suspek bertindak menembak mangsa dari jarak yang dekat ketika mereka bertugas pada pukul 3 petang hingga 11 malam Jumaat lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang pengawal keselamatan Orang Asli daripada suku Semai maut ditembak rakan se­kerjanya di balai pengawal di sebuah kilang ubat di Taman Farmasi di sini malam Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa yang berasal dari Tronoh dekat sini itu dijum­pai dalam kea­daan terbaring dengan kesan tembakan pada dada kirinya. - K! ONLINE