Beliau berkata langkah itu bakal menyebabkan Johor mempunyai dua syarikat penyedia perkhidmatan air, melainkan kerajaan negeri dapat memastikan bahawa syarikat  sedia ada iaitu SAJ-Ranhill tidak lagi akan wujud dan terus beroperasi.

"Bilakah sebenarnya Menteri Besar Johor (Datuk Osman Sapian) bercadang untuk menubuhkan syarikat baharu ini? Adakah sudah dikenal pasti akan segala keperluan dan cabaran operasinya dengan baik dan teliti?

"Kesemua ini harus dibentang dan dijelaskan oleh Menteri Besar Johor. Ini amat penting bagi mengelakkan beliau dilihat sebagai mengemukakan cadangan tersebut sekadar melepaskan batuk di tangga, tanpa ada kesungguhan dan niat yang ikhlas untuk menyelesaikan isu ini," kata dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Khaled juga berpendapat dengan harga saham SAJ-Ranhill yang kini jatuh dan sedang murah, ia sepatutnya menjadi peluang terbaik kerajaan negeri membeli saham bagi meningkatkan nilai pegangannya dalam syarikat itu.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Isnin lepas, Osman memberitahu beliau sedang memikirkan untuk menubuhkan syarikat air baharu untuk memastikan tarif air di negeri ini dapat dikawal kerana jika dibanding dengan negeri lain, tarif air Johor adalah yang tertinggi.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri tidak berniat untuk untuk membeli SAJ Ranhill kerana nilai sahamnya sudah jatuh, tambahan pula ia dimiliki sebuah syarikat besar lain yang belum menawarkan apa-apa kepada kerajaan negeri untuk membeli saham mereka.

Dalam SAJ-Ranhill, kerajaan negeri hanya mempunyai 20 peratus pegangan saham. - Bernama