Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut sejurus insiden tersebut.

"Kejadian angin kencang telah berlaku sebelum bumbung laluan pejalan kaki itu runtuh pada 1 Januari lalu dan siasatan oleh forensik JKR mendapati struktur binaan tersebut tidak dapat menampung kekuatan angin yang terlalu kuat.

"Lubang-lubang yang ditebuk bagi menjalankan proses pendawaian sesalur elektrik pada tiang tersebut telah berkarat dan menyebabkan ia tidak lagi mampu untuk menampung berat struktur binaan," katanya kepada pemberita selepas memeriksa bumbung laluan pejalan kaki sepanjang 100 meter berhampiran Pasar Besar Kedai Payang di sini yang telah siap dibaik pulih hari ini.     

Kosmo! Online 1 Januari lalu melaporkan kerajaan negeri Terengganu mengarahkan MBKT memeriksa semua struktur bangunan dan kemudahan awam di bandar raya ini susulan insiden bumbung laluan pejalan kaki berhampiran Pasar Besar Kedai Payang yang runtuh.

Laluan perjalan kaki sepanjang 280 meter itu mula dibina pada Jun 2015 dan siap pada 6 Disember 2015 membabitkan kos sebanyak RM376,437. - K! ONLINE