Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas meneliti segala hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan dengan mendapati keputusan dilakukan Mahkamah Sesyen adalah selamat dan dikekalkan.

Bagaimanapun, Ab. Karim memerintahkan pengurangan hukuman denda RM3,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini kepada RM2,000 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Dalam kehakimannya, Ab. Karim menyatakan walaupun kesalahan perayu atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 55,  jelas mengaibkan namun bukan kesalahan melibatkan tubuh badan, harta benda atau keselamatan masyarakat.

"Selain itu, kesalahan itu juga mewujudkan ketenteraman awam namun tidak menimbulkan kekecohan.

"Ia juga bukan kesalahan yang dirancang tetapi berlaku secara tiba-tiba dengan perasaan kecewa mengakibatkan anda (Tian Chua) melafazkan kata-kata itu," jelasnya.

Pengurangan hukuman itu seterusnya membolehkan Tian Chua yang merupakan Naib Presiden PKR layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Mengikut pertuduhan, Tian Chua didakwa mengeluarkan perkataan kesat terhadap Deputi Superintendan Glenn A. Sinappah yang bertugas di Balai Polis Petaling Jaya di pintu utama lobi sebuah hotel pukul 7.45 malam pada 14 April 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 508 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurulhuda Noraini Mohd. Nor sementara perayu diwakili tiga peguam iaitu N. Surendran, Eric Paulsen dan Latheefa Koya. - K! ONLINE