Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, walaubagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan dalam segala aspek.

"Kami akan bekerjasama dengan agensi yang mempunyai kepakaran seperti Jabatan Kerja Raya dan Unit Forensik, untuk mengenal pasti bagaimana kejadian ini boleh berlaku.

"Seperti bagaimana bilah pisau traktor mesin rumput itu boleh patah dan bagaimana bilah itu boleh melantun sejauh 30 meter dan mengenai pelajar-pelajar di situ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pemandu traktor berusia 26 tahun, yang berasal dari Tanjung Keling, Melaka, itu telah diambil kenyataan berhubung insiden berkenaan dan akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana kematian disebabkan kecuaian," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, pelajar sekolah itu  Nur Afini Roslan, 14, maut selepas bilah mesin potong rumput terpelanting mengenai kepalanya.

Dua lagi pelajar, Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera di bahagian belakang kepala dan Abdullah Hazlan, 14, cedera pada bahagian telinga kanan. - Bernama