Peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal berkata, pihak polis telah menjalankan tugas dengan sangat profesional dan keluarga bekas Perdana Menteri itu turut memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Tiada tangkapan dibuat malam ini dan pihak polis hanya memeriksa kediaman tersebut dipercayai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Selain kediaman Najib, pihak polis turut memeriksa sebuah lagi unit pangsapuri milik Najib di Pavilion Residences untuk tujuan sama," katanya dalam satu sidang akhbar ringkas di sini awal pagi tadi.

Menurut Harpal Singh, tiada sebarang dokumen yang diambil oleh pihak polis melainkan barangan peribadi milik keluarga tersebut.

"Tiada dokumen, hanya beberapa kotak berisi helaian pakaian, tas tangan serta hadiah yang diambil oleh pihak polis.

"Siasatan serta pemeriksaan mengambil masa yang lama kerana ia adalah sebuah rumah yang besar dan setiap bilik harus diperiksa," katanya.

Tambah Harpal Singh, segalanya telah selesai dan tiada lagi serbuan atau pemeriksaan akan dilakukan berhubung siasatan ini sepanjang pengetahuannya.

Terdahulu, pihak polis dengan menaiki lebih daripada 10 buah kereta berserta sebuah trak tiba di rumah Najib sekitar pukul 10.15 malam semalam kira-kira 30 minit selepas beliau pulang daripada menunaikan solat tarawikh di Masjid Kampung Baru di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika bercakap kepada media mengesahkan sepasukan anggota polis hadir menggeledah kediaman bekas Perdana Menteri tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pencarian tersebut dilakukan atas aspek apa.

Setakat pukul 9 pagi berita ini ditulis, masih tiada sebarang pergerakan dapat dilihat berlaku di perkarangan rumah Najib. - K! ONLINE