Suruhanjaya Tenaga menerusi kenyataannya hari ini berkata, kerajaan bersetuju mengekalkan kadar semasa surcaj tarif elektrik di Semenanjung Malaysia sebanyak 2.55 sen/kilowatt-jam (kWj) untuk pengguna bukan domestik khususnya pengguna komersil, industri dan lain-lain bagi tempoh enam bulan tersebut.

Menurut kenyataan itu, kadar tarif asas kekal pada 39.45 sen/kWj dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Disember itu.

Kadar itu ditetapkan setelah kerajaan menetapkan baki surcaj Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebanyak RM1.148 bilion atau bersamaan 2.55 sen/kWj dilaksanakan di Semenanjung Malaysia bagi tempoh tersebut, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hasil semakan mekanisme ICPT pada setiap enam bulan yang dibuat suruhanjaya itu bagi tempoh 1 Januari lepas hingga 30 Jun 2019, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain hingga menyebabkan surcaj ICPT sebanyak RM1.592 bilion bersamaan dengan 2.94 sen/kWj. – Bernama