Sehubungan itu, tegasnya, Malaysia tidak akan mengiktiraf mahupun melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah oleh mana-mana pihak.

"(Ada pihak persoal) kenapa saya tidak lakukan sesuatu. Kenapa saya tidak adakan perbincangan atau dialog atau apa sahaja atau bawa (isu tuntutan) ke peringkat antarabangsa (berhubung tuntutan ke atas Sabah). Sebenarnya kalau kita mahu berunding dengan mereka, kalau kita mahu berbincang dengan mereka, bermakna kita iktiraf tuntutan dia.

"Justeru, saya beritahu Sabah (negeri) merdeka dalam Malaysia. Ia diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sejak 1963. Jadi memang tidak ada isu untuk dijawab atau dibincangkan. Pendirian kerajaan Malaysia konsisten bahawa kita tidak mengiktiraf sebarang tuntutan terhadap Sabah,” katanya.

Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis, berkata demikian pada program Perjumpaan Menteri Luar Negeri dengan Media di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan beberapa pemimpin pembangkang di Sabah termasuk Ahli Parlimen yang mempersoalkan mengapa kerajaan Malaysia tidak melakukan sesuatu bagi menyelesaikan isu tuntutan berkenaan. - Bernama